Tuesday, October 19, 2010

Misteri Volkswagen Kuning

Kisah sebuah kereta Volkswagen kuning yang dianggap berhantu, yang sering mengganggu perjalanan di sekitar lebuhraya Jelapang. Hantu Volkswagen kuning ini mula menganggu kenderaan di jalan raya sejak tahun 1956, tetapi tidak ketara dan orang ramai masih belum menganggap ia sesuatu yang mengaibkan.

Tetapi sejak lebuhraya Utara Selatan dibina merentasi kawasan yang dinamakan Jelapang, sejak itulah hantu Volkswagen kuning semakin ketara muncul dengan mengganggu kenderaan yang lalu lalang di situ. Puncanya dipercayai bermula dari sebuah kisah seorang isteri curang yang telah membunuh suaminya dengan kejam dan kemudian merampas kereta Volkswagen kuning milik suaminya.

Sang suami mati sambil menyimpan rasa dendam yang membara untuk memiliki semula Volkswagen kuning tersebut. Kenyataannya, jika benar hantu Volkswagen kuning ini wujud dan pernah dilihat orang, maka itu adalah jin (keturunan iblis yang bergelar jembalang), bukan si suami malang yang mati dibunuh kejam.

Volkswagen ini akan muncul secara tiba-tiba dan sekiranya pemandu memotong kereta tersebut , ia akan berada di hadapan secara mengejut.Dipercayai , kemalangan berlaku disebabkan gangguan Volkswagen kuning.

Disakat Hantu Penanggal

Kala itu hujan renyai-renyai membasahi bumi. Kedinginan malam mulai terasa  hingga menusuk ke tulang hitam. Halil melihat jam tangannya. Ah! Sudah lewat jam 12.00 malam. Kalaulah bukan kerana ada hal mustahak, tak kuasa dia meredah laluan Karak Highway tu malam-malam buta. Kalau naik kereta tak apalah juga, ni tunggang motorsikal buruk! Mana tau nasibnya tak baik,  motornya tiba-tiba aje buat hal ataupun....?? Siapa yang susah?

Halil tidak sanggup lagi untuk membayangkan segala kemungkinan yang bakal dihadapi. Apatah lagi, bila mengenangkan pelbagai cerita seram mengenai laluan Karak Highway yang pernah didengarinya. Kisah hantu penanggal yang dikatakan suka mengganggu penunggang motorsikal tiba-tiba sahaja bermain di kotak fikirannya.

Beberapa orang pengguna laluan itu pernah terserempak dengan lembaga itu! Saat itu juga Halil mula terasa seperti ada orang membonceng di belakangnya. Serta-merta darahnya menyirap. Halil terus mengamati menerusi cermin sisi motorsikalnya namun dia tidak melihat apa-apa pun melainkan kegelapan. Halil cuba mengawal perasaan cemasnya. Sedaya upaya juga dia cuba menepis perasaan takut dari hati. Halil yakin apa yang dialaminya ada hubungkait dengan permainan syaitan. Halil terus memecut laju motorsikal yang ditungganginya itu. Dia ingin segera sampai ke destinasinya.

Dalam keadaan yang tidak menyenangkan itu sekali lagi Halil mula terasa seperti ada bayang-bayang manusia bergerak di belakangnya. Tanpa berlengah dia terus membaca ayat-ayat suci untuk menghalang niat jahat makhluk halus itu dari terus menganggunya. Namun semakin dibaca, semakin kuat pula terasa debaran di dadanya. Halil dapat merasakan dirinya seperti berada di awang-awangan. Sah! Syaitan itu lebih 'kuat' daripadanya Mungkin juga bacaan ayat sucinya itu tidak berkesan kerana tidak sempurna.

Halil dapat rasakan dia tidak mampu lagi memandu motorsikalnya itu dan terus memberhentikannya secara mengejut. Lebih baik dia tenangkan fikiran daripada terlibat dalam kemalangan. Dia cuba pusatkan fikirannya untuk membaca ayat-ayat suci dengan memejamkan matanya. Namun terasa bacaannya itu memang tidak teratur. Entah macamana pula Halil terbau satu bau yang teramat busuk, seolah terlalu hampir dengan hidungnya. Saat itu juga, Halil seolah ingin menjerit bila dia dapat melihat dengan jelas 'benda' yang berada di depan matanya itu. Hantu penanggal!!!

Dia dapat melihat ada darah keluar membuak-buak bersama ulat dan lelehan lendir daripada tubuh tanpa kepala! Bila dia memandang ke arah 'handle' motorsikalnya, sekali lagi hampir dia pengsan bila mendapati ada satu kepala sedang bertenggek di atas 'handle' tersebut. Paling mengerikan, segala urat dan ususnya itu berlambak di dalam raga motorsikalnya. Halil sudah tidak dapat mengawal perasaan takutnya. Bacaan ayat-ayat suci makin bercelaru. Keimanannya turut tergugat, tapi dia tidak ada pilihan lain selain dari melihatnya. Tidak lama kemudian, tubuh tanpa kepala itutiba-tiba lenyap. Namun kepala itu masih ada di depannya!

Lidah yang terjelir dari mulutnya mengeluarkan cecair putih yang menjijikkan. Lidah itu sekejap terjelir dan bergulung. Dari lubang mata yang terlopong, Halil juga dapat melihat deraian ulat yang jatuh di atas tangki minyaknya. Manakala di lubang telinganya pula keluar lelehan darah dan nanah. Halil menarik nafasnya dalam-dalam.

Meskipun perasaan takutnya itu semakin menebal, namun di dalam hatinya dia tidak putus-putus membaca ayat-ayat suci. Kira-kira 20 minit kemudian bayangan ngeri itu hilang dan seperti ada kuasa ghaib menghisap deraian ulat tadi. Segalanya kembali seperti sediakala. seolah tidak ada apa-apa yang berlaku. Dengan pantas, Halil terus menghidupkan enjin motorsikalnya dan meneruskan perjalanan dengan dada yang masih berdebar-debar. Namun, dia rasa sangat bersyukur kerana selamat sampai ke kampungnya.

Balik ke Kuala Lumpur, Halil terus menceritakan kisahnya disakat hantu penanggal itu kepada teman-teman serumahnya, tetapi ceritanya sia-sia. Mereka hanya menggelengkan kepala dan tertawa kecil seperti tidak percaya. Dia tidak salahkan mereka kerana selama ini dia sendiri tidak percayakan semua itu hinggalah dia sendiri yang terkena. Apapun pengalaman itu tidak akan dilupakan hingga ke akhir hayat

Misteri Di Lebuhraya Karak

Beberapa tahun yang lepas, satu keluarga berbangsa melayu dalam perjalanan pulang ke Terengganu untuk menziarah saudara mara di kampung. Mereka semuanya berempat iaitu sepasang suami isteri dan dua anak perempuan mereka. Mungkin ingin mengelakkan jalan yang sibuk, mereka bertolak agak lewat dan sesampainya di Tol Gombak, jam telahpun menunjukkan tepat pukul 12 tengah malam.

“Bang, jangan bawak laju sangat bang, Ayu dengar kat area depan tu banyak accident tau,”
“Alah, abang tahu tapi kereta dah bikin cam ni mana boleh slow, kenalah lenjan habis, heh”, balas Hamid.

Sementara mereka berdua sibuk berbual, anak-anak mereka telah pun lena tidur di belakang. Ayu cuba menahan dari tertidur untuk berbual dengan suaminya agar tidak merasa mengantuk jika memandu sendiri. Ketika sedang asyik berbual tiba-tiba kedengaran bunyi rempuhan.

“Ah, sudah apa yang kita terlanggar tadi?”
“Bang, try check entah-entah kita terlanggar orang melintas ke, susah kita dibuatnya bang” kata Ayu kepada suaminya.

Akur dengan kehendak isterinya, Hamid memberhentikan keretanya di bahu jalan. Hamid keluar dari kereta dan cuba meninjau jalan yang telah dilaluinya tadi tetapi gagal menjumpai apa-apa. Hamid mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanannya, tetapi entah mengapa enjin keretanya tidak dapat dihidupkan.

“Eh…pelik tadi ok je, orang nak cepat dia buat hal pulak!”bentak Hamid.
“Kenapa bang?…rosak ke, trylah tengok-tengokkan enjin tu”, balas Ayu.

Apabila bonet depan dibuka, Hamid dapati keretanya kekurangan air. Hamid menyumpah-nyumpah dirinya kerana kecuaiannya menyebabkan mereka sekeluarga tersangkut di tengah-tengah Lebuhraya Karak. Memikirkan kemungkinan ada anak sungai berhampiran, Hamid mencapai botol dari dalam kereta dan berjalan seorang diri dalam kegelapan malam. Sebelum itu sempat dipesan kepada isterinya agar semua pintu dikunci dan jangan melayan jika ada orang selain darinya yang datang.

Sambil berjalan, Hamid menyumpah-nyumpah dalam hati. Kemarahannya reda bila mendapati ada cahaya di depannya, lantas dia menuju ke arah tersebut. Cahaya tersebut adalah bayangan cahaya bulan pada air sungai, tanpa berlengah Hamid memenuhkan air ke dalam botol yang dibawanya. Keadaan di sekeliling sungai sepi, hanya sesekali desiran angin malam membuatkan tubuh Hamid menggeletar kesejukan.

Ketika sedang mengambil air Hamid memandang sekelilingnya, hanya pohon-pohon tua yang berbentuk ganjil,besar,tinggi dan kelihatan menakutkan. Dan ketika itu pandangan Hamid tertumpu pada sebatang pohon tua yang berada di hadapannya. Lamunannya tersentak bila dia mendapati ada sesuatu yang bergerak di balik pokok. Hamid mula mengundurkan diri, memikirkan kemungkinan ianya binatang buas. Tetapi sangkaannya meleset bila perlahan-lahan ada sekujur tubuh di tutup kain putih keluar dari balik pokok.

Tanpa menanti botol penuh Hamid segera mengangkat kaki sambil mulutnya terkumat-kamit membaca Ayat Kursi. Ketika berlari pendengarannya dikejutkan dengan suara perempuan menjerit keras, diikuti dengan raung tangis berpanjangan. Sinar rembulan membantunya melihat dengan jelas akar-akar pokok yang berselirat agar tidak tersungkur. Sesampai di kereta isterinya terkejut melihat suaminya yang ketakutan.Terketar-ketar Hamid cuba menyatakan sesuatu.

Dengan cepat Hamid mengisi air dan terus menghidupkan enjinnya. Ketika hendak meneruskan perjalanannya, sempat dia menjeling pada cermin pandang belakang dan alangkah terkejutnya Hamid bila mendapati tubuh berbalut kain putih tadi berada di belakang keretanya tetapi kali ini Hamid dapat melihat dengan jelas mukanya. Kulitnya kering kontang, berkeriput dan biji matanya tersembul keluar.

Ketika itu juga hidungnya dapat menangkap bau busuk seperti mayat yang terbiar. “Ayu, jangan pandang belakang”, kata Hamid mengingatkan isterinya. Walaupun Hamid menekan habis minyak tetapi dirasakan keretanya bergerak terlalu perlahan dan makhluk yang mengejarnya telahpun berada di sebelah kanannya. Isterinya telah pun pitam bila memandang makhluk tersebut. Kini hanya tinggal Hamid seorang menghadapi makhluk tersebut.

Keesokan harinya terpapar di dada akhbar sekeluarga maut ketika dalam perjalanan pulang ke Terengganu. Keretanya terperosok ke dalam sungai yang letaknya sejauh 1 kilometer dari bahu jalan!! Sehingga kini bagaimana kereta tersebut boleh terbabas sejauh itu masih menjadi misteri yang belum bertemu jawapannya.